Sunday, December 5, 2010

THA, SA dan DZAL, ZAI.

Dua huruf Arab yang menjadi masalah yang ketara bila kita menyebutnya ialah “Tha ث” dan “Dzal ذ ”. Bila menuturkan perkataan yang ada huruf THA “ ث ” di dalamnya seperti hari “ثلاث ” (disebut dengan mudah sebagai SELASA dari bahasa Arab thulathaa “الثـلاثـاء ”). Begitu juga bila menuturkan perkataan yang ada huruf DZAL “ ذ ” di dalamnya seperti “ذيكير ” (disebut dengan mudah sebagai zikir dari bahasa Arab “ذكر ”). Akhirnya semua huruf “tha” telahpun menjadi “sa” dan huruf “dzal” telahpun menjadi “zal”. Lebih-lebih lagi ejaan rumi “dz” itupun telah tidak digunakan lagi dan muktamad menjadi “zal” sahaja. Tentunya pembaca tahu bezanya dengan huruf “zai” yang original.

Sebenarnya, bukanlah sukar untuk menyebut “tha” dan “dzal” ini. Semasa berkursus Kaedah Mengajar Bahasa Arab, di King Sa‘ud University, Riyadh, pensyarah di sana menyedari kesukaran masyarakat di nusantara ini untuk menyebut huruf “tha” dan “Zal”. Kedua-duanya mempunyai makhraj yang sama. Beliau menyarankan (Beliau pakar sebutan bahasa yang tidak terikat dengan hukum tajwid) supaya dikeluarkan lidah dan sebut “tha” dan “dza”. Menurut beliau yang akan muncul nanti ialah huruf sebenar sebutan “ث ” dan “ذ ”.

Semasa saya memberikan kursus sebutan huruf, ada guru Quran yang menambah “dengan lidah tidak menyentuh gigi atas”. Secara praktiknya apabila lidah dikeluarkan dan menyentuh gigi atas, huruf yang muncul ialah “ta”. Jadi (so), mudahkanlah pengajaran makhraj huruf ini supaya suka orang mengikutinya. Saya setuju dengan pensyarah saya di KSU Riyadh itu.

Masyarakat kita lebih sensitif lagi bila perkataan zikir itu dieja secara Arab iaitu “ذكر ”. Mereka akan senyum sinis dan bimbang ejaan itu akan dibaca zakar. Allah Yarham guru Bahasa Melayu yang mengajar saya semasa di Maahad Johor pernah mengatakan, “Tulisan Jawi adalah rahasia orang Melayu. Mereka cerdik dan bagaimana sekalipun sesuatu perkataan itu dieja, mereka tetap bolah membacanya! Tulisan Jawi adalah satu-satunya keunikan bangsa Melayu sebagaimana juga bangsa-bangsa lain mempunyai keunikan dalam tulisan Cina dan Tamil.”

Saya menambah, tentulah orang kita akan membaca “Selapas solat, sunat kita ber“ذكر ” sebagai (berzikir dan bukannya berzakar). Itulah pesan-pesan guru-guru saya yang saya hormati kerana cara berfikir mereka.

Seperkara lagi, bila seseorang menamakan anaknya “Fathi” yang ini akan disebut dengan mudah sebagai “Fati”, sama seperti kes nama “Ishak” yang disebut sebagai “ishak” (Macam solat isyak). Kedua-duanya disebut dengan cara yang sama iaitu “Fat-hi” sebagaimana “Is-hak”. Jika anda jumpa orang yang dinamakan oleh bapanya “Fathan”, sebutannya ialah “Fat-han” dan bukannya “Fatan”.

Jadi (so), sebutlah nama cucu saya dengan sebutan yang betul iaitu “ فـتحـي (Fa dibaris atas, ta mati, ha (pedas) berbaris bawah dan ya mati (Fat – hi). Wahai cucu cicitku, sebutlah dengan betul di masa akandatang walaupun atuk dah tak menulis lagi di blog ini. Sentiasalah ber“ذكر ” ingat Allah dan membaca Quran supaya sebutanmu betul!