Wednesday, December 15, 2010

Renungkan!

Minggu lalu saya menonton tv9 rancangan popular "Tanyalah Ustaz". Saya tertarik dengan seorang ustaz bukan Melayu yang mempunyai Ph.D dan IR di hadapan namanya menceritakan bagaimana beliau "mencari" dan mempelajari bahasa Arab. Yang jelas bila beliau belajar bahasa Arab di Malaysia, masih tidak boleh berbahasa Arab. Ini menguatkan pendapat bahawa kita dan anak-anak kita di sekolah, sebenarnya bukan belajar bahasa Arab tetapi belajar tentang bahasa Arab.
Sebenarnya dan sesungguhnya orang Melayu lebih mudah mempelajari bahasa Arab dan menggunakannya (sepatutnya begitu) kerana banyak perkataan dalam bahasa Melayu berasal dari bahasa Arab. Nama hari-hari yang digunakan dalam seminggu berasal dari bahasa Arab. Cuma cara menyebutnya saja yang berbeza. Kerusi yang sangat diminati dalam setiap pilihanraya, kursi yang ada di rumah dan ayat kursi yang masyhur dalam filem-filem hantu Malaysia, berasal dari kursi bahasa Arab. Pendekata, jika ada orang Melayu yang kepenatan berdiri di tengah khalayak Arab dan menyebut "kursi.... kursi!" (minta sebuah kerusi) orang Arab akan faham dan memberinya sebuah kursi (kerusi = ejaan Dewan). Sekiranya kita tak faham bahasa Arab orang Arab yang bercakap dengan kita, kita hanya perlu kata dalam bahasa Melayu "ana tak faham". Semua orang Arab akan faham bahawa kita tak faham kerana "faham" itu bahasa Arab dan "tak" itu sama bunyinya dengan "la" (Arab menyebutnya "lak") yang bermakna (bahasa Arab "Ma'na") tidak. Jadi (so) apa masalahnya belajar bahasa Arab?

Sunday, December 5, 2010

THA, SA dan DZAL, ZAI.

Dua huruf Arab yang menjadi masalah yang ketara bila kita menyebutnya ialah “Tha ث” dan “Dzal ذ ”. Bila menuturkan perkataan yang ada huruf THA “ ث ” di dalamnya seperti hari “ثلاث ” (disebut dengan mudah sebagai SELASA dari bahasa Arab thulathaa “الثـلاثـاء ”). Begitu juga bila menuturkan perkataan yang ada huruf DZAL “ ذ ” di dalamnya seperti “ذيكير ” (disebut dengan mudah sebagai zikir dari bahasa Arab “ذكر ”). Akhirnya semua huruf “tha” telahpun menjadi “sa” dan huruf “dzal” telahpun menjadi “zal”. Lebih-lebih lagi ejaan rumi “dz” itupun telah tidak digunakan lagi dan muktamad menjadi “zal” sahaja. Tentunya pembaca tahu bezanya dengan huruf “zai” yang original.

Sebenarnya, bukanlah sukar untuk menyebut “tha” dan “dzal” ini. Semasa berkursus Kaedah Mengajar Bahasa Arab, di King Sa‘ud University, Riyadh, pensyarah di sana menyedari kesukaran masyarakat di nusantara ini untuk menyebut huruf “tha” dan “Zal”. Kedua-duanya mempunyai makhraj yang sama. Beliau menyarankan (Beliau pakar sebutan bahasa yang tidak terikat dengan hukum tajwid) supaya dikeluarkan lidah dan sebut “tha” dan “dza”. Menurut beliau yang akan muncul nanti ialah huruf sebenar sebutan “ث ” dan “ذ ”.

Semasa saya memberikan kursus sebutan huruf, ada guru Quran yang menambah “dengan lidah tidak menyentuh gigi atas”. Secara praktiknya apabila lidah dikeluarkan dan menyentuh gigi atas, huruf yang muncul ialah “ta”. Jadi (so), mudahkanlah pengajaran makhraj huruf ini supaya suka orang mengikutinya. Saya setuju dengan pensyarah saya di KSU Riyadh itu.

Masyarakat kita lebih sensitif lagi bila perkataan zikir itu dieja secara Arab iaitu “ذكر ”. Mereka akan senyum sinis dan bimbang ejaan itu akan dibaca zakar. Allah Yarham guru Bahasa Melayu yang mengajar saya semasa di Maahad Johor pernah mengatakan, “Tulisan Jawi adalah rahasia orang Melayu. Mereka cerdik dan bagaimana sekalipun sesuatu perkataan itu dieja, mereka tetap bolah membacanya! Tulisan Jawi adalah satu-satunya keunikan bangsa Melayu sebagaimana juga bangsa-bangsa lain mempunyai keunikan dalam tulisan Cina dan Tamil.”

Saya menambah, tentulah orang kita akan membaca “Selapas solat, sunat kita ber“ذكر ” sebagai (berzikir dan bukannya berzakar). Itulah pesan-pesan guru-guru saya yang saya hormati kerana cara berfikir mereka.

Seperkara lagi, bila seseorang menamakan anaknya “Fathi” yang ini akan disebut dengan mudah sebagai “Fati”, sama seperti kes nama “Ishak” yang disebut sebagai “ishak” (Macam solat isyak). Kedua-duanya disebut dengan cara yang sama iaitu “Fat-hi” sebagaimana “Is-hak”. Jika anda jumpa orang yang dinamakan oleh bapanya “Fathan”, sebutannya ialah “Fat-han” dan bukannya “Fatan”.

Jadi (so), sebutlah nama cucu saya dengan sebutan yang betul iaitu “ فـتحـي (Fa dibaris atas, ta mati, ha (pedas) berbaris bawah dan ya mati (Fat – hi). Wahai cucu cicitku, sebutlah dengan betul di masa akandatang walaupun atuk dah tak menulis lagi di blog ini. Sentiasalah ber“ذكر ” ingat Allah dan membaca Quran supaya sebutanmu betul!

Saturday, November 20, 2010

SY vs SH

Dalam Bahasa Arab huruf “syin” (ش) dan “shad” (ص) adalah dua huruf yang berbeza makhraj (cara menyebutnya). Sementara di Indonesia masih lagi menggunakan “sh” sebagai ganti huruf (ص), di Malaysia digantikan dengan bunyia yang hampir “so” contoh “solat” yang memang sudah meluas digunakan.

Bagaimanapun, akhirnya kekeliruan berlaku juga bila sukan “squash” (dalam bahasa Inggeris) dieja “skuasy”, Qais (dengan huruf “sin” dalam bahasa Arab) dieja “Qaisy” (filem Qaisy dan Laila). Jelasnya yang senang sudah menjadi susah. Di mana silapnya?

Bagai mereka yang bernama Ishak, selalu disebut "isyak"; sedangkan ia sepatutnya disebut "is dan hak" menjadi "is-hak". Kesihan mereka yang dinamakan "Ishak" oleh bapanya. Sampai bila-bila takkan menjadi "is-hak" tetapi "isyak". Sentiasalah dia bersembahyang "isyak".

Solat (atau shalat) 'Isyak sepatutnya disebut 'Isyak (dengan I yang asalnya adalah huruf 'ain). Tetapi tidak disebut dengan betul kecuali oleh mereka yang memang hendak bersolat 'Isyak dalam lafaz niat "Nawaitu fardhal 'Isyaa i arba'a raka'atin adaa an lillahi ta'ala". Tak tahulah kalau ada orang yang membaca "fardhal isyaki" sebagai orang yang disyaki.

Pastinya kelemahan huruf rumi (Latin) untuk menyebut huruf jawi/Arab adalah sangat ketara sehingga nampak si penuturnya sangat ganjil. Jika boleh diumpamakan seperti penutur bahasa Inggeris menyebut perkataan “Welcome” dalam bahasa Melayu “wel come (seperti wel comel)”, cut disebut “cut (seperti pancut)” hairannya, tidak pernah pula kedengaran orang Melayu salah menyebut perkataan-perkataan Inggeris tersebut? Hebatnya orang kita berbahasa Inggeris.

Jangan sampai silap menyebut “syak” menjadi “siak”, “syukur” menjadi “siukur” (macam sayur cekur), “syarikat” menjadi “siarikat”. Yang menambah pelik lagi bunyinya ialah keturunan Arab yang ada “Syed” di hadapan namanya sudahpun ada orang menyebutnya sebagai shed. Jelas benar kekeliruan dan kekecamukan yang berlaku dalam masyarakat (masiarakat) apabila tidak dapat menguasai sebutan huruf Arab. Apatahlagi kalau sampai menyebut solat (shalat) sebagai "syalat" (seperti syarat) atau "salad" (seperti salad pembuka selera).

Pengajaran: berlatihlah selalu menyebut huruf-huruf Arab dengan selalu membaca Quran kerana ia dapat membantu kita membetulkan bunyi. Jika menyebut perkataan Inggeris boleh dilakukan dengan tidak ada kejanggalan sedikitpun, mengapa tidak dengan bahasa Arab akar kata kebanyakan bahasa Melayu? Masih tak percaya?

Sunday, August 15, 2010

IKHLAS atau IKLAS (E-Class) ?

Sebutan perkataan Arab dalam drama Melayu yang sering menjadi anutan masyarakat ialah bila si pelakon sering menuturkan perkataan “ikhlas” (Bahasa Arab: إخلاص) disebut sebagai “iklas”. Contoh “Saya iklas ni makcik.”.

Perkataan tersebut lebih hampir kepada bunyi “E-class". Mengapakah terjadi demikian? Adakah guru-guru Bahasa Melayu tidak “PRIHATIN” untuk melahirkan penutur ikhlas yang benar-benar “IKHLAS”.

Adakah sebutan “ikhlas” terlalu ke‘araban hingga teramat sukar untuk dituturkan oleh lidah orang Melayu?

Dari kajian dan pengamatan penulis sendiri (hasil pergaulan dengan beberapa masyarakat bangsa-bangsa lain), didapati orang Melayu (khususnya yang berada di Semenanjung Tanah Melayu) merupakan orang yang paling mudah meniru sebutan bahasa bangsa-bangsa lain. Jelasnya jika mereka bertutur dalam Bahasa Inggeris, sebutannya benar-benar seperti sebutan orang Inggeris. Jika merela bertutur dalam Bahasa Perancis, sebutannya saling tak tumpah macam orang Perancis. Jika mereka bertutur dalam Bahasa Arab, memang mengalahkan Arab dalam sebutan setengah-setengah huruf1. Tak percaya? Cuba perhatikan juruhebah Majlis Tilawah. Jika mereka bercakap dalam bahasa Cina, sebijik macam orang Cina (Lihat satu program remaja di TV8 seorang pemuda Melayu bertutur dalam Bahasa Cina). Syabas!

Orang Melayu juga boleh menyanyi lagu-lagu Hindustan dalam bahasa Urdu sekalipun tidak memahami maknanya. Jadi apa masalahnya dengan perkataan “Ikhlas” ?

Jadi (orang sekarang lebih suka sebut “so”), marilah kita sebut dengan betul supaya Lidah Melayu kita kekal di tahap paling berkesan, baik dan tidak dapat ditandingi oleh bangsa lain.

Catatan Kaki (Footnote la):

Arab Mesir menyebut “Qa” ( ق ) sebagai “Aa”. Di Hulu Mesir, Saudi dan beberapa negeri di utaranya mereka menyebut sebagai “ga”. Contoh “Waqaf” ( وقف ) di Mesir “Waaf” di Negeri Arab lain “Wagaf” orang Melayu sebut “Waqaf dan telahpun menjadi sebahagian daripada perkataan Bahasa Melayu. Nasib baiklah orang Arab tidak menuntutnya sebagai hak ciptanya!