Wednesday, December 28, 2011

Koma

Yang orang paling takut ialah koma. Ertinya tidak hidup dan tidak mati. Dalam Bahasa Melayu (dulu) ada koma di atas bagi suku kata perkataan yang ada huruf 'ain. Sebenarnya menurut guru Bahasa Melayu saya (Allah Yarham), itu bukan koma di atas tetapi ialah kepala 'ain yang telah dibuang badannya. Dicipta khas oleh Allah Yarham pendeta Za'ba.
Masalahnya sekarang kesemua tanda itu telah dibuang (dihapuskan) atau digantikan dengan huruf "K". Oleh itu, masalah besar bagi orang yang namanya ada huruf 'ain. Aktivis dakwah (da'wah) yang banyak menulis kitab namanya Sa'id Hawwa. Tidak lagi berbunyi huruf 'ain pada suku kedua namanya Sa'id tetapi menjadi Said (nasib baik tidak dibaca sebagai perkataan Inggeris). Lebih malang lagi jika antara yang menyebutnya ialah ustaz-ustaz di TV.
Periwayat Hadis yang masyhur Ibnu Mas'ud, sekarang ini dibaca sebagai Ibnu Masud. Dan banyak lagi kerusakan yang berlaku pada orang dan siapa sahaja yang namanya ada huruf 'ain. Sa'diah akan dibaca Sadiah, Sa'odah akan dibaca Saodah. I'lan memang tak dikenali lagi kerana sudah jadi "Iklan", da'wah sedang menurut jejak langkah iklan dan dua tahun lagi akan disebut dakwah. Da'wat memang tiada siapa yang kenal kerana sudah menjadi dakwat. Yang pasti malang ialah bid'ah akan disebut "bidah" (Anak makcik Bedah) atau "bidkah" kerana sekarang jawatankuasa Ta'mir masjid pun sudah disebut "Takmir" (dalam Bahasa Arab jika dengan huruf "qaf" = taqmir ertinya memperjudikan).
Siapa yang boleh tolong betulkan kerusakan / kerosakan ini?